YANGON, 20 Oktober- Tentera Myanmar menyerbu salah satu pusat penipuan siber paling terkenal di KK Park, berhampiran sempadan Myanmar-Thailand dan merampas 30 set penerima serta aksesori Starlink.
Menurut laporan media kerajaan, rampasan itu mendedahkan penggunaan perkhidmatan satelit milik Elon Musk dalam industri haram yang bernilai bilion dolar.
Pusat penipuan itu menipu mangsa asing melalui skim perniagaan dan percintaan sejak pandemik COVID-19 menutup kasino di kawasan sempadan yang tidak terkawal.
AFP mendapati pembangunan pesat sedang berlaku di tapak pusat tersebut, termasuk pemasangan lebih 80 piring Starlink di bumbung bangunan.
Awal tahun ini, tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa Thailand, China dan Myanmar membebaskan ribuan pekerja, sebahagiannya sukarela dan sebahagian lain dipaksa bekerja oleh sindiket jenayah terancang.
Pusat penipuan siber menjadi sebahagian penting ekonomi gelap Myanmar, membiayai kumpulan bersenjata yang terlibat dalam perang saudara sejak rampasan kuasa tentera 2021.
Selain Myanmar, operasi penipuan serupa berkembang di seluruh Asia Tenggara.
Terdahulu, Kemboja menghantar pulang 64 warga Korea Selatan yang ditahan kerana terlibat dalam sindiket siber manakala Beijing dilaporkan menahan lebih 57,000 warganya yang disyaki terbabit dalam jenayah rentas sempadan. -AFP