fb fb fb fb fb

Penduduk teruja pulang beraya menaiki kapal perang secara percuma

JAKARTA, 18 April- Sebuah kapal perang tentera digunakan untuk membawa kira-kira 1,000 penumpang pulang ke kampung halaman secara percuma menjelang perayaan Aidilfitri.

Kapal KRI Banjarmasin-592 memulakan pelayaran hari ini dari Jakarta dan akan melakukan persinggahan di Semarang dan Surabaya.

Menurut kapten kapal, Agung Haribowo, pelbagai kemudahan disediakan buat penumpang sepanjang pelayaran.

"Kami telah menyediakan bilik untuk kanak-kanak dan ibu serta lelaki termasuk bilik rawatan.

Semasa belayar, kami juga akan menyediakan juadah berbuka dan bersahur secara percuma selain ruang untuk solat," katanya.

Sementara itu, penduduk setempat berkongsi keterujaan dan kegembiraan mereka apabila berpeluang menaiki kapal tersebut.

"Kami selalunya menaiki motosikal, tetapi apabila dapat menaiki kapal ini secara percuma, kami mahu merasai sensasinya.

Ia satu pengalaman baharu bagi kami," kata seorang penumpang, Jeni Muhibah.

(Kapal KRI Banjarmasin-592 digunakan untuk membawa 1,000 penumpang pulang ke
kampung halaman secara percuma / Foto REUTERS)

Di Jakarta, lebih 24,000 orang telah pulang ke kampung halaman menaiki kereta api dan 1,400 lagi menaiki bas.

Jumlah itu dijangka meningkat secara mendadak dalam tempoh beberapa hari lagi dengan kemuncaknya pada Jumaat ini.

Kementerian Pengangkutan negara itu menganggarkan kira-kira 123.8 juta pengembara menggunakan lebuh raya.-REUTERS

Media Baharu