AYODHYA, 22 Januari- Beribu-ribu penduduk India menari di jalanan, memakai pakaian berwarna kuning dan mengibarkan bendera menjelang pembukaan Kuil Ram.
Upacara di utara bandar Ayodhya menandakan peristiwa bersejarah bagi penduduk beragama Hindu di India.
"Pembinaan Kuil Ram adalah instrumen untuk menyatukan negara," kata Perdana Menteri India Narenda Modi.
Kuil itu menunaikan janji selama 35 tahun oleh parti nasionalis Hindu Modi, Bharatiya Janata Party (BJP). Ia menjadi isu politik dan perbalahan dalam membantu melonjakkan parti itu untuk menonjol dan berkuasa.
Tapak kuil itu dipertikaikan selama beberapa dekad dan mencetuskan rusuhan di seluruh negara pada 1992. Rusuhan itu menyebabkan kematian 2,000 individu, terutamanya Muslim.
Penganut Hindu berkata tapak itu adalah tempat kelahiran Lord Ram.
Pada 2019, Mahkamah Agung menyerahkan tanah itu kepada penganut Hindu dan mengarahkan pembahagian plot berasingan kepada umat Islam.
Acara pada Isnin itu bermula pada pukul 12.20 tengah hari waktu tempatan.
Hampir 8,000 orang dijangka menghadiri majlis berkenaan termasuk pemimpin perniagaan terkemuka, bintang filem dan ahli sukan.
Lebih daripada 10,000 anggota polis berkawal di seluruh bandar bagi mengawal keselamatan dan menghalang penceroboh.
Kuil itu dibuka kepada orang ramai pada Selasa dan pengurusannya menjangkakan sekurang-kurangnya 100,000 pelawat dalam sehari.- REUTERS