fb fb fb fb fb

Penduduk Gaza terus dihantui mimpi ngeri - Setiausaha Agung PBB

Antonio Guterres (tengah) tiba di Lapangan Terbang al-Arish Mesir berhampiran Rafah yang bersempadan dengan Gaza, semalam/AFP

PALESTIN, 24 Mac- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memaklumkan bahawa dunia telah melihat cukup kengerian perang dan merayu gencatan senjata untuk membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan ke Gaza.

"Rakyat Palestin di Gaza - kanak-kanak, wanita, lelaki - terus dihantui mimpi ngeri berterusan," kata beliau dalam lawatannya di sebelah Mesir di persimpangan sempadan Rafah, semalam.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai kecacatan moral.

"Saya membawa suara sebahagian besar dunia yang sudah cukup melihat," kata Guterres, menyedihkan "komuniti dihapuskan, rumah dimusnahkan, seluruh keluarga dan generasi dilenyapkan.

"Tiada apa yang mewajarkan hukuman kolektif rakyat Palestin," katanya.

Lebih 32,100 rakyat Palestin terkorban dan lebih 72,400 cedera dalam perang penjajah Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Israel juga telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Gaza menyebabkan penduduknya terutama penduduk utara Gaza berada di ambang kebuluran. -AFP

SITI AISHAH MD ISA