NEW DELHI, 24 Mac- Dua beradik di India terpaksa berputih mata selepas sebuah kereta milik mereka yang telah diubah suai menyerupai seperti helikopter dirampas oleh polis, baru-baru ini.
Ishwardin dan Parmeshwardin Prajapati telah membelanjakan kira-kira AS$3,000 (RM14,200) untuk bilah kipas dan replika ekor helikopter yang dipasang pada bumbung serta belakang kereta tersebut.
Projek berkenaan mengambil masa selama beberapa minggu di sebuah bengkel di Uttar Pradesh.
Difahamkan, 'kereta helikopter' terbabit dibina sebagai usaha mereka untuk menjana pendapatan menerusi sewaan kepada mana-mana majlis perkahwinan dengan bayaran sebanyak 5,000 rupee (RM280) sehari.
Polis berkata, kenderaan yang belum sempat dicat itu disita kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya dan pengubahsuaian yang tidak dibenarkan.
Adik beradik itu juga dikenakan denda sebanyak 2,000 rupee dan kereta terbabit akan dikembalikan dengan syarat ekor helikopter pada kereta tersebut dibuang terlebih dahulu. -AFP