fb fb fb fb fb

18 daripada 25 mangsa culik ditemui masih hidup di Mexico

Anggota Pengawal Kebangsaan membuat rondaan keselamatan di jalan Culiacan, Sinaloa, Mexico/Gambar fail AFP

MEXICO, 24 Mac - Pihak berkuasa mengesahkan 18 individu ditemui selamat selepas sehari mereka diculik di barat laut negara itu.

Setiausaha keselamatan negeri, Sinaloa Gerardo Merida berkata pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian culik dari beberapa buah rumah di kawasan kejiranan pekerja Culiacan, pada Jumaat lalu.

"18 orang yang diculik telah dibebaskan di Culiacan manakala tujuh lagi masih belum dibebaskan," katanya menerusi hantaran di X.

Mangsa yang berjaya dilepaskan terdiri daripada sembilan orang dewasa dan sembilan kanak-kanak.

Manakala pihak berkuasa sedang menjejaki tujuh mangsa yang lain.

Insiden terbaharu itu susulan pertempuran bersenjata pada Khamis lalu yang menyebabkan tiga orang maut di bandar Sinaloa, Badiraguato.

Bandar Sinaloa merupakan tempat kelahiran ketua dadah terkenal Joaquin "El Chapo" Guzman, yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa enggan membuat sebarang spekulasi mengenai sebarang kaitan antara kedua-dua insiden itu.

Culiacan adalah tempat kejadian rusuhan ganas oleh kartel Sinaloa pada Oktober 2019 ketika operasi untuk menangkap anak lelaki El Chapo, Ovidio Guzman.

Pada Januari tahun lalu, sekali lagi anak lelaki kartel dadah itu akhirnya berjaya ditangkap pihak polis.

Kes pembunuhan, penculikan dan menyebabkan orang hilang tanpa berita sering berlaku di Mexico yang melibatkan kartel dadah Guzman Sinaloa.

Berdasarkan data rasmi, hampir 450,000 orang telah dibunuh di sekitar Mexico sejak 2006.

Presiden Felipe Calderon turut melancarkan kempen ketenteraan kontroversi anti-dadah. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN