fb fb fb fb fb

Penduduk Gaza sangsi pelan damai baharu Trump

Kepulan asap masih kelihatan di kawasan penempatan di Khan Yunis, selatan Gaza/ AFP

GAZA, 30 September - Penduduk di Gaza menyuarakan keraguan terhadap pelan damai terbaharu yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Isnin.

Pengatur cara komputer Ibrahim Joudeh, 39 tahun menyifatkannya pelan damai itu sebagai tidak realistik dan gagal menamatkan konflik.

"Sudah jelas bahawa pelan ini tidak realistik, pelan ini dirangka dengan syarat yang diketahui Amerika Syarikat dan Israel tidak akan diterima Hamas.

"Bagi kami, ini bermakna peperangan dan penderitaan akan terus berlarutan," katanya ketika ditemui di tempat perlindungannya di zon kemanusiaan Al-Mawasi, selatan Gaza.

Joudeh dan penduduk lain memberikan reaksi itu sejurus selepas Trump mengumumkan 20 pelan damai bagi menamatkan perang di Gaza — pelan yang turut mendapat sokongan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, selepas kedua-duanya mengadakan perbincangan di White House.

Pelan berkenaan merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan, perlucutan senjata serta pengunduran berperingkat pasukan Israel dari Gaza.

Antara intipati lain termasuk penempatan pasukan penstabilan antarabangsa sementara serta penubuhan pihak berkuasa peralihan yang akan diketuai Trump sendiri bersama pemimpin asing lain.

Pelan itu juga menetapkan bahawa Hamas dan mana-mana kumpulan pejuang tidak akan memainkan sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Seorang lagi penduduk, Abu Mazen Nassar, 52 tahun, turut menyuarakan keraguan selian menyatakan kebimbangan bahawa pelan itu sekadar helah kepada pihak Palestin tanpa jaminan keamanan.

"Semua ini hanya satu manipulasi. Apa maksudnya menyerahkan semua tahanan tanpa jaminan rasmi untuk menamatkan perang?" soal Nassar, yang kini tinggal di Deir el-Balah, setelah berpindah dari utara Gaza.

Serangan berterusan Israel di Gaza setakat ini telah mengorbankan lebih 66,000 penduduk Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. Sebahagian besar kediaman musnah atau rosak, manakala 2.3 juta penduduk Gaza kini berdepan krisis kemanusiaan yang kritikal.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI