WASHINGTON, 30 September - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin mengumumkan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bersetuju menyokong pelan damai Gaza cadangan AS yang bertujuan menamatkan perang hampir dua tahun di wilayah Palestin, termasuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang ditahan.
Bercakap pada sidang media bersama Netanyahu di White House, Trump menyatakan kedua-dua pihak kini "melebihi tahap sangat hampir" dalam merangka perjanjian damai yang sekian lama dinantikan, sambil menyuarakan harapan agar Hamas turut menerima pelan berkenaan.
White House turut mengeluarkan pelan 20 perkara yang digariskan Trump, merangkumi pelaksanaan gencatan senjata, pertukaran tebusan Hamas dengan tahanan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas, serta penubuhan kerajaan peralihan diketuai badan antarabangsa.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Netanyahu atas persetujuan beliau terhadap pelan ini dan keyakinan bahawa melalui kerjasama.
"Kita mampu menamatkan pertumpahan darah dan kemusnahan yang berlarutan selama bertahun-tahun, malah berdekad-dekad dan berabad lamanya — sekali gus membuka lembaran baharu keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk seluruh rantau," kata Trump.
Lawatan itu merupakan kunjungan keempat Netanyahu ke White House sejak Trump kembali ke tampuk pemerintahan pada Januari lalu.
Inisiatif berkenaan menandakan peningkatan usaha diplomatik AS bawah pimpinan Trump, yang ketika kempen pilihan raya presiden 2024 berikrar untuk menamatkan konflik di Gaza dengan segera, namun rangka damai yang dijanjikan sebelum ini gagal menjadi kenyataan.
Bagaimanapun ketiadaan penglibatan rasmi Hamas dalam rundingan tersebut menimbulkan persoalan terhadap keberhasilan pelan damai terbaharu itu.- REUTERS