NEW YORK, 30 September - Wakil Tetap Negara Palestin ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Riyad H. Mansour, mendakwa Israel sedang merancang memperluas perang Gaza ke Tebing Barat.
Perkara itu dinyatakan ketika berucap di hadapan Majlis Keselamatan PBB pada Isnin.
"Kita tidak perlu melihat pengulangan tragedi yang menimpa rakyat kita di Gaza berlaku pula di Tebing Barat," tegas Mansour.
Rakyat Palestin memilih jalan damai, namun terdapat pihak tertentu dalam Israel mahu mengheret konflik ke Tebing Barat, termasuk kumpulan pelampau kanan yang mendesak pengilhakan wilayah tersebut dan menamatkan sebarang harapan untuk penubuhan negara Palestin.
"Terdapat pihak yang sedang menabuh gendang perang ke arah Tebing Barat, dan kita mesti memastikan usaha mereka itu tidak berjaya," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, selepas bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin pagi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan sokongan terhadap pelan damai Gaza yang dicadangkan White House.
Pelan itu bertujuan menamatkan pemerintahan Hamas di Gaza, menyalurkan bantuan kemanusiaan segera, serta menubuhkan semula Pihak Berkuasa Palestin yang direformasi bagi mentadbir Gaza yang dibangunkan semula.
Ia turut mencadangkan Israel supaya berundur secara berperingkat daripada kawasan yang diduduki. Sebuah badan antarabangsa diketuai AS pula akan menyelia pelaksanaan semula pembangunan di wilayah itu.
Serangan berterusan Israel di Gaza setakat ini telah mengorbankan lebih 66,000 penduduk Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. Sebahagian besar kediaman musnah atau rosak, manakala 2.3 juta penduduk Gaza kini berdepan krisis kemanusiaan yang kritikal.- REUTERS