LOS ANGELES, 30 September - Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28) pada Isnin mengumumkan bahawa Highland Electric Fleets dipilih sebagai penyedia bas rasmi bagi temasya berprestij itu.
Menerusi kerjasama yang bakal menyaksikan 500 bas elektrik digunakan bagi menyokong operasi pengangkutan sepanjang acara berlangsung.
Berbeza daripada pendekatan konvensional membeli kenderaan baharu, LA28 merancang menggunakan semula bas sekolah elektrik kuning sedia ada daripada daerah tempatan untuk mengangkut pemegang akreditasi rasmi sepanjang temasya. Pendekatan itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon dan kos operasi.
Highland akan bekerjasama dengan pasukan pengangkutan LA28 bagi melaksanakan program bas sekolah elektrik pertama seumpamanya dalam sejarah penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik.
Syarikat itu akan menyelia pengoperasian harian, termasuk logistik, pengurusan stesen pengecasan, depot serta sokongan teknikal di lokasi di seluruh venue temasya.
"Logistik dan operasi yang terlibat amat besar. Oleh itu, kami akan mengatur peralatan, bas, infrastruktur pengecasan serta tenaga kerja bagi memastikan cabaran logistik ini berjalan lancar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Highland, Duncan McIntyre.
Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass, menyifatkan kerjasama itu sebagai contoh terbaik penggunaan sumber sedia ada untuk mengurangkan pelepasan karbon serta meninggalkan impak lestari kepada penduduk Los Angeles (Angelenos).
Bass sebelum ini menyuarakan hasrat menjadikan temasya itu sebagai "Olimpik tanpa kereta", dengan menggalakkan para peminat menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak di seluruh bandar raya itu.
"Kita sedang menunjukkan kepada dunia bahawa dengan bekerjasama dan mencari penyelesaian inovatif, kita mampu mengubah kelaziman. Inilah masa depan kerana Los Angeles ialah masa depan," katanya.
LA28 sebelum ini beriltizam meminimumkan jejak karbon, termasuk menggunakan venue sedia ada di California Selatan tanpa membina infrastruktur kekal baharu.
Ditubuhkan pada 2019, Highland Electric Fleets menawarkan perkhidmatan elektrifikasi untuk daerah sekolah dan kenderaan lain.
Syarikat itu turut mengetuai program kenderaan komersial pertama yang menyokong sistem 'vehicle-to-grid' menggunakan bas sekolah elektrik, serta mengendalikan projek terbesar seumpamanya di Amerika Syarikat.- REUTERS