fb fb fb fb fb

Puluhan remaja ditahan, ketika protes tuntut reformasi kesihatan & pendidikan

Individu yang ditahan ketika protes di Maghribi, susulan demonstrasi yang menuntut reformasi dalam sektor pendidikan dan kesihatan awam/ AFP

RABAT, 30 September - Puluhan remaja ditahan di Maghribi pada Isnin, hari ketiga demonstrasi yang menuntut reformasi dalam sektor pendidikan dan kesihatan awam.

Menurut laporan kumpulan hak asasi tempatan, pasukan keselamatan dilihat berusaha menghalang perhimpunan kumpulan belia sejak Sabtu lalu, dengan wartawan AFP menyaksikan polis menahan puluhan individu di lokasi berbeza.

Penunjuk perasaan dilaporkan melaungkan slogan, "Rakyat mahukan kesihatan, pendidikan dan kebertanggungjawaban."

Protes yang turut menyaksikan puluhan tangkapan pada Sabtu dan Ahad itu dianjurkan sebuah kumpulan dikenali sebagai 'GenZ 212', namun pengasasnya masih belum dikenal pasti.

Presiden cawangan Rabat bagi Persatuan Maghribi untuk Hak Asasi Manusia (AMDH), Hakim Sikouk, memaklumkan lebih 60 orang telah ditahan di Rabat, dengan jumlah tidak diketahui di Casablanca, Agadir, Oujda dan Meknes.

Bagaimanapun, beliau berkata majoriti mereka yang ditahan sepanjang hujung minggu telah dibebaskan.

GenZ 212 sebelum ini menyeru orang ramai untuk turun ke jalan melalui platform Discord, dengan menekankan isu seperti kesihatan, pendidikan dan memerangi rasuah, di samping menzahirkan 'kecintaan terhadap tanah air.'

Gelombang protes itu tercetus ketika rakyat semakin tidak puas hati terhadap ketidaksamarataan sosial di Maghribi, yang banyak menjejaskan golongan muda dan wanita.

Laporan terkini mengenai kematian lapan wanita hamil di sebuah hospital awam di Agadir turut mencetuskan kemarahan dan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI