KUALA LUMPUR, 30 September - Ketua kumpulan Jihad Islam Palestin (PIJ), Ziad al-Nakhala menyifatkan pengumuman bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel berhubung Gaza sebagai "resipi untuk meletuskan konflik serantau", ketika beberapa pemimpin antarabangsa pula menyatakan optimisme terhadap rancangan berkenaan.
Kumpulan itu, turut mengecam cadangan tersebut menerusi aplikasi Telegram.
Dalam pada itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni menyuarakan keyakinan terhadap rancangan damai tersebut menerusi platform X, menyeru Hamas untuk menerimanya serta menggesa Israel agar turut memberi komitmen.
Presiden AS Donald Trump sebelum itu memperoleh persetujuan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terhadap cadangan pelan damai tajaan Washington bagi menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza.
Bercakap pada sidang media bersama di White House, Trump berkata mereka kini berada pada tahap "sangat hampir" kepada penyelesaian, namun memberi amaran bahawa Israel akan terus menerima sokongan penuh AS untuk mengambil tindakan yang difikirkan perlu sekiranya Hamas menolak cadangan itu.
Ketika pertemuan berlangsung, White House turut mengeluarkan dokumen 20 perkara yang antara lain menekankan gencatan senjata, pertukaran tebusan antara Hamas dan Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, perlucutan senjata Hamas serta penubuhan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa.-REUTERS