GAZA, 14 Oktober - Suasana penuh emosi mengiringi detik bersejarah pembebasan dan kepulangan warga Palestin yang ditahan rejim Israel.
Sambutan besar-besaran pada Isnin itu menyaksikan ribuan penduduk membanjiri jalan raya di sepanjang laluan bas yang membawa tahanan terlibat.
Rakaman oleh juruvideo tempatan Amr Tabash, menunjukkan orang ramai berdiri di tepi jalan, malah ada yang memanjat tembok dan bumbung bangunan sambil melambai dan bersorak ketika bas yang membawa para tahanan menuju ke Hospital Nasser.
Sebahagian bekas tahanan dilihat berdiri di atas bumbung bas, melambai ke arah orang ramai sambil menunjukkan simbol 'V' iaitu simbol kebebasan setelah bertahun-tahun terpisah daripada keluarga.
Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), sebanyak 20 tebusan Israel telah diserahkan semula kepada pihak berkuasa Israel, manakala 1,809 tahanan Palestin dibebaskan dan dibawa pulang ke Gaza serta Tebing Barat.
Bagi rakyat Palestin, pembebasan ini bukan sekadar satu perjanjian politik tetapi detik yang penuh makna, menandakan harapan baharu setelah dua tahun perang yang menghancurkan bumi Gaza. - REUTERS