KOREA SELATAN, 9 Januari- Kira-kira 250 penduduk di Pulau Yeonpyeong, Korea Selatan berada dalam kebimbangan termasuk Kim Jeoung-hee kerana pulau itu dihimpit dengan ancaman peluru berpandu. Mereka mula mengenang kembali kejadian pada 2010 apabila tentera Korea Utara membedil peluru berpandu berhampiran kediaman mereka.
Pihak berkuasa memberitahu untuk berlindung pada Jumaat berikutan peningkatan ketegangan antara Korea Utara-Korea Selatan. Namun tiada sebarang peluru disasarkan ke kawasan kecil di sebelah selatan sempadan maritim yang dipertikaikan kedua-dua negara.
"Setiap kali saya mendengar bunyi dentuman, saya berasa takut," kata Kim kepada Reuters pada Isnin. "Semua orang hidup dengan mimpi ngeri itu."
Ketakutan pada Jumaat itu berikutan Korea Utara melepaskan lebih 200 peluru beberapa batu dari pulau itu yang disifatkan sebagai latihan artileri. Korea Selatan turut bertindak balas dalam serangan pada Jumaat.
Pada November Korea Utara berkata ia mengerahkan pasukan bersenjata yang lebih kuat dan senjata baharu di sempadannya dengan Korea Selatan. Ia sehari selepas Seoul menggantung sebahagian daripada perjanjian ketenteraan pada 2018 dalam protes terhadap pelancaran satelit pengintip Pyongyang.
Pembatalan perjanjian pada 2018 itu menyebabkan ramai di Yeonpyeong bimbang kerana mereka boleh kembali ke barisan pertananan negara.
Kim berkata dia dan pemimpin pulau lain bertemu dengan Pegawai Tentera Korea Selatan pada Isnin untuk menyuarakan kebimbangan mereka mengenai amaran pada Jumaat itu.
Mereka juga meminta bantuan tentera menyediakan makanan berikutan kanak-kanak dan orang tua terpaksa menghabiskan masa sehingga empat jam di bawah tanah.
"Memandangkan apa yang berlaku 14 tahun lalu tidak sepatutnya diselesaikan dengan cara ini," kata Kim. "Jika ada kecemasan sebenar, penduduk berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku."
Perkhidmatan feri juga digantung dan penduduk terperangkap di pulau itu, kata Kim. "Semua penduduk di sini dijadikan tebusan," katanya.- REUTERS