fb fb fb fb fb

Pendaki India buktikan takluk Puncak Everest selepas tamat tempoh larangan mendaki

(Gunung Everest dengan ketinggian 8,848 meter dan pendaki yang berjaya menakluk puncaknya
memiliki kelebihan kerana dapat menggunakan pengiktirafan itu untuk bergelar penceramah motivasi dan penulis/FOTO FAIL AFP)

KATHMANDU, 4 Jun- Seorang pendaki India yang sebelum ini diharamkan daripada mendaki Gunung Everest akibat didakwa berbohong pernah menakluki puncak gunung tertinggi di dunia itu akhirnya berjaya melakar sejarah berada di puncak gunung berkenaan.

Narender Singh Yadav memberitahu AFP, dia kembali menakluk Gunung Everest bagi membuktikan kemampuannya.

Tahun lalu, Nepal membatalkan sijil puncak Everest terhadap dua lelaki warga India kerana berbohong kononnya mereka berjaya menakluk puncak tertinggi dunia itu, pada 2016.

Pegawai berkata, kedua-duanya dan seorang lagi ketua kumpulan mereka turut dilarang mendaki gunung di negara itu, selama enam tahun.

Narender Singh Yadav dan Seema Rani Goswami mendakwa, Jabatan Pelancongan Nepal mengeluarkan sijil mereka selepas berjaya menakluk puncak gunung tertinggi dunia itu pada musim bunga 2016.

Namun, kekecohan tercetus dalam kalangan pendaki gunung India selepas Yadav tersenarai dalam Anugerah Pengembaraan Tenzing Norgay yang berprestij tahun lalu.

Ia membuka kepada siasatan lanjut selepas terdapat keraguan sama ada mereka benar-benar berjaya sampai ke puncak Eeverest.

Jurucakap kementerian pelancongan, Tara Nath Adhikari berkata, siasatan dan soal siasat bersama pendaki lain mendedahkan dua lelaki itu sebenarnya tidak pernah sampai ke puncak gunung berkenaan.

"Mereka tidak dapat memberikan bukti pendakian mereka ke puncak, malah gagal kemukakan gambar mereka sampai ke puncak," katanya.

(Larangan mendaki dikenakan terhadap Narender Singh Yadav  tamat pada 20 Mei, seminggu kemudian, dia berada di puncak,
kali ini dengan simpanan foto dan videoyang mencukupi untuk membuktikan kejayaannya/FOTO AFP)


Berikutan itu, dua pendaki itu bersama ketua mereka, Naba Kumar Phukon dilarang daripada mendaki di gunung Nepal selama enam tahun, mulai Mei 2016.

Seven Summit Treks, yang menganjurkan pendakian kedua individu itu didenda AS$450 (kira-kira RM1,800), manakala seorang malim gunung turut didenda AS$85 (kira-kira RN343).

Gunung Everest dengan ketinggian 8,848 meter dan pendaki yang berjaya menakluk puncaknya memiliki kelebihan kerana dapat menggunakan pengiktirafan itu untuk bergelar penceramah motivasi dan penulis.

Sistem sedia ada memerlukan pendaki merakam gambar dan mengemukakan laporan daripada ketua ekspedisi bagi memperoleh sijil puncak Everest.

Pada 2016, pasangan warga India berkenaan diharamkan mendaki gunung itu selama 6 tahun selepas memalsukan gambar mereka di puncak dengan teknik superimpose.

Yadav dan dua pendaki lain telah dikenakan larangan enam tahun bertarikh 2016, dan ini adalah tahun pertama dia dapat kembali ke gunung itu.

"Everest adalah impian untuk kita semua tetapi Everest adalah kehidupan untuk saya," kata Yadav kepada AFP pada hari Jumaat.

"Terdapat banyak dakwaan terhadap saya, sebab itu saya (terpaksa) membuktikan diri dan mendaki Everest."

Yadav menegaskan dia sampai ke puncak tetapi ketua ekspedisi itu menyorot gambarnya dan menyiarkannya di media sosial selepas dia dicalonkan untuk Anugerah Pengembaraan Tenzing Norgay India yang berprestij pada 2020.

Anugerah itu kemudiannya ditahan, pengalaman yang dikatakan Yadav adalah sangat menyakitkan bagi dirinya dan keluarganya.

Larangan pendakian itu tamat pada 20 Mei.

Tujuh hari kemudian, dia berada di puncak, kali ini dengan simpanan foto dan video yang mencukupi untuk membuktikan kejayaannya. -AFP


Media Baharu