(Poster ganjaran AS$50,000 (RM220,000) bagi sesiapa yang membantu penangkapan Lopez)
WASHINGTON, 4 Jun- Seorang banduan yang melarikan diri dari penjara dan membunuh lima mangsa semalam berjaya ditembak mati oleh polis.
Berikutan itu, penduduk Texas, Amerika Syarikat (AS) menarik nafas lega.
Gonzalo Artemio Lopez, 46, yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh, melarikan diri dari bas penjara pada 12 Mei lalu dan menjadi subjek pemburuan besar-besaran.
Jurucakap Jabatan Keadilan Jenayah Texas, (TDCJ), Jason Clark, berkata Lopez melepaskan diri daripada tahanan dengan menggergaji sangkar besi, di mana dia ditempatkan ketika berada di dalam bas sebelum bertindak menyerang pemandu dan melarikan diri.
Beliau menjadi salah seorang sasaran pemburuan besar-besaran dalam sejarah Texas, membabitkan pegawai tempatan, negeri dan persekutuan.
Selain itu, polis turut menawarkan ganjaran AS$50,000 (RM220,000) bagi sesiapa yang membantu penangkapannya.
Pihak berkuasa menyedari kedudukan Lopez selepas pihak polis dihubungi oleh seseorang yang gagal menghubungi saudaranya yang berkunjung ke rumah percutian di Centerville.
Sebaik tiba di rumah itu, mereka menemui mayat seorang dewasa dan empat kanak-kanak yang juga cucunya iaitu tiga beradik dan sepupu mereka, yang berusia antara 11 dan 18 tahun.
Mereka turut mengeluarkan amaran mengenai trak Chevy Silverado yang hilang dari kediaman itu.
(Gonzalo Artemio Lopez, 46, banduan Texas yang melarikan diri dari tahanan dan membunuh lima sekeluarga
sebelum ditembak mati pihak berkuasa/FOTO AFP)
Kenderaan yang hilang itu kemudian ditemui pada petang kejadian, kira-kira 320 kilometer dari lokasi Lopez melarikan diri.
Lopez, yang bersenjatakan senapang AR-15 dan pistol, ditembak mati ketika berlaku tembak menembak dengan pihak berkuasa undang-undang.
"Pegawai-pegawai itu dengan pantas menembak dan membunuh Lopez, sekali gus menamatkan semua kegusaran ini.
"Kami sangat berduka cita atas pembunuhan yang berlaku, namun kini dapat menarik nafas lega bahawa Lopez tidak akan dapat mencederakan orang lain," katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa berkata Lopez berjaya lolos walaupun ditahan dalam sangkar besi yang dikhaskan buat banduan berisiko tinggi.
Difahamkan, dia berjaya keluar dari sangkar dengan memotong pintu pagar dan menyerang pemandu bas, yang ditikam di tangan serta dada ketika pergelutan sebelum merampas kenderaan itu.
Seorang pengawal penjara menembak tayar belakang bas berkenaan, namun Lopez kemudian hilang kawalan bas dan merempuh padang rumput sebelum melarikan diri ke hutan berhampiran.
Dia berjaya melarikan diri daripada dikesan sehingga lewat Khamis lalu, walaupun diburu beratus pegawai, helikopter, anjing menerusi pencarian rumah ke rumah, malah turut menggunakan pegawai menaiki kuda. - AFP