fb fb fb fb fb

Penambahan 37 jawatan baharu dalam kabinet, rakyat Sri Lanka berang

(FOTO FAIL/AFP)

COLOMBO, 10 September- Sri Lanka menambah 37 jawatan kanan yang baharu dalam kerajaan, Khamis lalu, sekali gus mencetuskan kecaman pelbagai pihak menerusi media sosial terhadap perbelanjaan awam itu yang disifatkan sebagai 'tidak berfaedah' ketika negara ini terus bergelut dengan krisis ekonomi terburuk.

Selama berbulan-bulan, negara dengan kepadatan 22 juta penduduk ini menderita lonjakan inflasi, kekurangan kritikal pelbagai barangan keperluan dan bantahan meluas oleh rakyat, sehingga menyaksikan ia tidak mampu membayar hutang luar negara pada April lalu.

Kerajaan memaklumkan, 37 menteri baharu itu tidak akan menerima gaji, namun masing-masing berhak mendapat tiga kereta berserta minyak, perumahan, pengawal peribadi, gaji untuk kakitangan peribadi dan pelepasan cukai.

Susulan itu, sejumlah warga Sri Lanka meluahkan kekecewaan mereka dalam media sosial terhadap penggunaan dana awam berkenaan.

"Berbelanja untuk menteri-menteri tidak berfaedah ini... kita terpaksa mengikat perut. Hanguslah wang cukai saya," ciap pengguna akaun 'Mirhani Rahees'.

Pengguna akaun 'Krishna Perera' pula menuduh kerajaan 'tiada komitmen terhadap hak asasi manusia, pembaharuan ekonomi atau kebertanggungjawaban.'

Kesemua menteri baharu terbabit adalah daripada gabungan bawah bekas Presiden, Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke luar negara pada Julai lalu selepas penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya, namun pulang semula ke tanah air pada minggu lalu.


(Papan iklan yang mengumumkan kepulangan bekas presiden yang digulingkan Gotabaya Rajapaksa
pada 4 September lalu/ AFP)

Antara menteri baharu itu ialah anak saudara Rajapaksa, Sashindra yang menyandang portfolio pengairan.

Keseluruhan 37 jawatan baharu berkenaan adalah tambahan kepada 20 anggota Kabinet bawah Presiden Ranil Wickremesinghe yang mengambil alih pentadbiran susulan peletakan jawatan Rajapaksa.

Wickremesinghe hanya mempunyai satu kerusi dalam Parlimen dibarisi 225 ahli, dan bergantung pada parti dianggotai Rajapaksa, iaitu Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) yang merupakan blok terbesar.

Menurut pegawai rapat kepada Wickremesinghe, cubaan Presiden itu untuk membentuk kerajaan perpaduan masih belum menjadi kenyataan berikutan pembangkang utama, Samagi Jana Balawegaya (SJB) enggan menyertainya.

Sri Lanka sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk memuktamadkan bantuan AS$2.9 bilion yang memerlukan Colombo menaikkan cukai dan menswastakan perusahaan negara yang mencatat kerugian - dua langkah tidak popular dari segi politik.

Dalam satu laporan baharu dikeluarkan Selasa lalu, Majlis Hak Asasi Manusia bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengesa Wickremesinghe supaya mengambil tindakan pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas jenayah ekonomi sehingga mengakibatkan Sri Lanka muflis. - AFP

Media Baharu