fb fb fb fb fb

Pemuzik Palestin cuba beri kegembiraan kepada kanak-kanak di Rafah sempena Aidilfitri

Sekumpulan pemuzik Palestin cuba menghiburkan kanak-kanak di kem pelarian di Rafah

GAZA, 10 April - 'Aidilfitri adalah hari yang kita tidak boleh tinggalkan', kata salah seorang pemuzik Palestin.

Memetik laporan Al-Jazeera, pemuzik Palestin itu cuba menghiburkan kanak-kanak di Rafah pada Aidilfitri ini.

"Kami cuba melakukan yang terbaik untuk memberikan senyuman, lagu dan aktiviti", kata pemuzik Palestin Musab Al Ghamri.

Katanya, dia sebagai pemuzik mahu membawa kegembiraan kepada kanak-kanak di Rafah untuk meraikan Aidilfitri, walaupun mereka dibedil tanpa henti oleh Zionis Israel, dan berada dalam ketakutan serta kehilangan orang yang tersayang.

Seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Mais Adwan berkata tahun ini merupakan tahun yang sukar buat mereka berbanding tahun sebelumnya.

"Kerana peperangan ini kami kehilangan rumah, kami juga tidak mempunyai baju baru apatah lagi biskut untuk Aidilfitri dan saya tidak sabar untuk pulang ke rumah," katanya.

Zionist Israel meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza meskipun dalam bulan Ramadan.

Sekurang-kurangnya lebih 33,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 75,000 cedera sejak 7 Oktober tahun lalu menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN