fb fb fb fb fb

Iran ulangi amaran bertindak balas terhadap Israel

FOTO AFP

TEHRAN, 10 April- Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sekali lagi memberi amaran kepada Israel mereka 'akan dihukum' susulan serangan udara ke atas Damsyik yang membunuh tujuh Pengawal Revolusi termasuk dua berpangkat jeneral.

"Rejim zalim ini melakukan kesilapan dalam hal berkenaan. Ia mesti dan akan dihukum," katanya dalam ucapan yang disiarkan menerusi rangkaian televisyen di sini, hari ini.

Khamenei berkata serangan pada 1 April yang memusnahkan bangunan lima tingkat kedutaan Iran di ibu negara Syria itu, menggugat perjanjian antarabangsa yang memperuntukkan ketidakbolehcabulan premis diplomatik.

"Pejabat konsulat dan kedutaan di mana-mana negara adalah wilayah negara berkenaan. Apabila mereka menyerang konsulat kami, ini bermakna mereka menyerang wilayah kami." katanya.

Khamenei telah mengetuai pegawai tertinggi Iran yang berjanji untuk membalas serangan berkenaan yang secara meluas dikaitkan dengan perbuatan musuh ketatnya, Israel.

Seorang penasihat kanannya, Yahya Rahim Safavi memberi amaran pada Ahad lalu bahawa kedutaan Israel 'tidak lagi selamat'.

Israel berkata, minggu lalu pihaknya sedang mengukuhkan pertahanan dan menghentikan cuti untuk unit tempur berikutan ancaman balas Iran.

Iran tidak mengiktiraf Israel dan kedua-dua negara melalui perang bayangan selama bertahun-tahun.

Iran mendakwa Israel bertanggungjawab di sebalik gelombang serangan sabotaj dan pembunuhan yang menyasarkan program nuklearnya. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI