fb fb fb fb fb

Pemuzik lancar album senyap bantah perubahan hak cipta AI

Pemuzik Inggeris Cat Stevens yang kini dikenali sebagai Yusuf Islam / Foto Reuters

LONDON, 25 Februari – Lebih 1,000 pemuzik, termasuk Kate Bush dan Cat Stevens yang kini dikenali sebagai Yusuf Islam, melancarkan album senyap bertajuk Is This What We Want? sebagai bantahan terhadap cadangan perubahan undang-undang hak cipta Britain yang membolehkan syarikat teknologi melatih model kecerdasan buatan (AI) menggunakan karya mereka.

Cadangan tersebut memberi kuasa kepada pembangun AI untuk melatih model mereka dengan bahan yang boleh diakses secara sah, sementara pencipta perlu menarik diri secara aktif jika tidak mahu karya mereka digunakan.

Langkah tersebut mendapat tentangan daripada ramai artis yang mendakwa ia akan menjejaskan kawalan eksklusif pencipta terhadap hasil kerja mereka.

"Dalam muzik masa depan, adakah suara kita akan lenyap?" kata Bush, yang lagunya Running Up That Hill kembali popular pada 2022 menerusi siri Stranger Things.

Jurucakap kerajaan menyatakan bahawa peraturan sedia ada menghalang industri kreatif dan AI daripada mencapai potensi penuh.

Bagaimanapun, kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dan belum membuat keputusan muktamad.

Antara pemuzik yang menggesa kerajaan menyemak semula cadangan tersebut ialah Annie Lennox, Billy Ocean, Hans Zimmer dan The Clash.

“Cadangan ini akan menyerahkan hasil kerja pemuzik kepada syarikat AI secara percuma, membolehkan mereka bersaing dengan pencipta asal,” kata penganjur Ed Newton-Rex, pengasas Fairly Trained.

Perundingan awam mengenai perubahan undang-undang itu dijadualkan ditutup pada Selasa.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN