fb fb fb fb fb

Pereka Peru cipta lampu LED berkuasa tumbuhan untuk komuniti

'Alinti' menerima pelbagai anugerah dan geran antarabangsa dengan matlamat meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga daripada 15 kepada 60 watt bagi setiap meter persegi/Reuters

LIMA, 25 Februari- Pereka muda dari Peru, Hernan Asto, mencipta lampu diod pemancar cahaya (LED) yang menggunakan elektrik daripada tumbuhan sebagai penyelesaian tenaga lestari untuk komuniti memerlukan.

Asto menjelaskan teknologi tersebut bergantung kepada tiga komponen utama iaitu tumbuhan, substrat tanah yang kaya dengan glukosa, serta elektrod.

Proses itu berlaku dalam tanah apabila akar tumbuhan melepaskan sebatian organik semasa fotosintesis, yang kemudiannya diuraikan oleh mikrob untuk menghasilkan elektron.

Elektron tersebut ditangkap oleh elektrod dan ditukar kepada tenaga elektrik.

"Kami memperkenalkan sumber tenaga baharu yang membolehkan manusia menggunakan cahaya semula jadi daripada tumbuhan buat pertama kali," katanya.

Jenama ciptaan Asto, 'Alinti', membawa maksud "matahari" dan "tumbuhan" dalam bahasa asli Peru, Quechua dan Aymara.

Projek itu telah menerima pelbagai anugerah dan geran antarabangsa, dengan matlamat meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga daripada 15 kepada 60 watt bagi setiap meter persegi.

Asto yang berasal dari sebuah kampung terpencil di Pergunungan Andes berkata pengalaman hidup tanpa elektrik mendorongnya mencari penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.

Pada usia 14 tahun, rumahnya musnah dalam kebakaran akibat penggunaan lilin.

"Kejadian itu memberi kesan besar kepada saya dan mendorong usaha menyediakan sumber tenaga selamat dan lestari untuk komuniti luar bandar," katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen sosial pasukannya untuk memanfaatkan teknologi itu bagi membantu masyarakat luar bandar sebelum mengembangkan projek ke peringkat antarabangsa. -Reuters

2502 BD PERU ELEKTRIK TUMBUHAN
Hernan Asto, pencipta 'Alinti' yang menggunakan elektrik daripada tumbuhan/Reuters

SITI AISHAH MD ISA