PARIS, 25 Februari- Menteri-menteri industri Eropah akan bertemu di Paris pada hari Khamis untuk membincangkan langkah-langkah bagi mengekalkan pengeluaran keluli di Eropah sebagai tindak balas terhadap tarif AS, menurut kenyataan kementerian industri Perancis lewat Isnin.
Industri keluli Eropah sedang bergelut susulan perintah eksekutif Presiden AS, Donald Trump, untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium bermula 12 Mac, meskipun mendapat amaran daripada Brussels.
Menteri-menteri dari kira-kira 15 negara pengeluar keluli Eropah dijangka menghadiri mesyuarat di Paris itu, kata kementerian Perancis.
Para peserta akan berkongsi penemuan dan penyelesaian bersama pihak berkepentingan lain dalam industri keluli termasuk syarikat dan kesatuan, dijangka menandatangani deklarasi bersama untuk melindungi industri keluli Eropah, menurut kementerian tersebut.
Sektor ini, yang menggaji lebih daripada 300,000 pekerja di Eropah, sudah pun terjejas oleh lebihan pengeluaran keluli kos rendah dari China dan harga tenaga yang tinggi di Eropah.
Kesatuan Eropah telah pun menyatakan bahawa tarif tersebut adalah tidak wajar dan merugikan dari segi ekonomi.
Pada tahun 2018, Trump telah mengenakan tarif ke atas eksport keluli dan aluminium semasa penggal pertamanya sebagai presiden memaksa EU bertindak balas dengan mengenakan duti yang lebih tinggi.-AFP