CANBERRA, 25 Februari- Puluhan penerbangan komersial terpaksa mengubah laluan selepas kapal perang China secara mengejut mengumumkan latihan tembakan hidup di perairan timur Australia minggu lalu, menurut pegawai dalam satu sesi pendengaran kerajaan.
Tiga kapal perang China menjalankan beberapa siri latihan tentera laut pada Jumaat dan Sabtu lalu, di bawah laluan penerbangan sibuk yang menghubungkan Australia dan New Zealand.
Agensi keselamatan udara Australia memaklumkan, mereka hanya mengetahui mengenai latihan itu selepas sebuah penerbangan komersial menerima siaran daripada kapal China tersebut pada pagi Jumaat.
“Pada waktu itu, kami tidak pasti sama ada ia satu penipuan atau benar,” kata Timbalan Ketua Eksekutif Air Services Australia, Peter Curran, semasa sesi pendengaran kerajaan pada Isnin malam.
Amaran itu disiarkan menerusi frekuensi antarabangsa yang dipantau juruterbang komersial namun tidak diawasi oleh pengawal trafik udara Australia, jelas Curran.
“Itu ialah frekuensi keselamatan antarabangsa. Kawalan trafik udara tidak memantau frekuensi tersebut, tetapi juruterbang melakukannya. Jadi, kami tidak dapat mendengar amaran itu secara langsung.”
Menurut Curran, sebanyak 49 penerbangan komersial terpaksa mengelak zon tembakan hidup itu selepas amaran tersebut disahkan sahih.
“Beberapa penerbangan sudah berada di udara ketika kami pertama kali mendapat maklumat itu,” katanya.
Australia mengesahkan latihan tersebut dijalankan di perairan antarabangsa dan mengakui tindakan China itu mematuhi undang-undang antarabangsa.
Namun, Canberra mengkritik Beijing kerana mengadakan latihan ketenteraan tanpa amaran yang sewajarnya.
China mempertahankan tindakannya sebagai “selamat, berstandard dan profesional”.
Australia dan sekutu rapatnya, New Zealand, memantau tiga kapal tentera laut China, sebuah frigat, kapal penjelajah, dan kapal tangki sokongan sejak ia dikesan di perairan Australia minggu lalu.
Menurut angkatan pertahanan New Zealand, kapal-kapal tersebut berada 218 batu nautika di timur negeri pulau Tasmania, Australia, pada pagi Selasa.
Ketegangan antara Australia dan China semakin memuncak susulan latihan pelayaran Canberra di kawasan sensitif seperti Selat Taiwan.
Awal bulan ini, sebuah jet pejuang China melepaskan suar di laluan sebuah pesawat pengawasan tentera udara Australia yang sedang melakukan rondaan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.
Kementerian Luar China kemudian menyatakan pesawat Australia itu menceroboh kawasan berkenaan “tanpa kebenaran China”.