HEBRON, 16 Februari- Seorang pemuda Palestin cedera selepas diserang oleh penceroboh Israel di bandar Surif, barat laut Hebron.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), sumber perubatan memberitahu bahawa penceroboh berkenaan melemparkan batu ke arah penduduk; menyebabkan seorang pemuda mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
"Penceroboh yang dilindungi oleh tentera Israel, dari penempatan haram Bat Ayin, barat laut Hebron, menyerang penduduk Palestin ketika mereka berada di tanah mereka.
"Lelaki yang cedera itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan," lapor WAFA.
Serangan itu merupakan sebahagian daripada keganasan berterusan oleh penceroboh terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.