fb fb fb fb fb

Pemotongan faedah ahli parlimen, tidak halang ratusan pelajar Indonesia berhimpun

Foto Reuters

JAKARTA, 1 September- Ratusan pelajar berhimpun di beberapa bandar utama Indonesia pada Isnin, meskipun wujud kebimbangan terhadap tindakan keras pihak berkuasa.

Ini susulan rusuhan hujung minggu lalu yang mengorbankan lapan orang, keganasan terburuk di negara itu dalam tempoh lebih dua dekad.

Protes bermula minggu lalu bagi membantah keutamaan perbelanjaan kerajaan, termasuk faedah tambahan untuk ahli parlimen.

Ia kemudiannya mencetuskan rusuhan serta insiden penjarahan rumah ahli politik selepas sebuah kenderaan polis merempuh dan membunuh seorang pemandu teksi motosikal.

Ahad lalu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan pemotongan faedah ahli parlimen, satu tawaran besar kepada penunjuk perasaan.

Namun, beliau turut memberi amaran bahawa pasukan keselamatan akan bertindak tegas bagi mengawal undang-undang dan ketenteraman.

Kehadiran besar pasukan keselamatan yang diketuai tentera menyebabkan beberapa penganjur menangguhkan perhimpunan di Jakarta.

Namun demikian, kumpulan pelajar tetap berkumpul di ibu negara Jakarta, di Yogyakarta yang dianggap pusat kebudayaan, serta di Makassar, lokasi keganasan terburuk hujung minggu lalu yang meragut sekurang-kurangnya empat nyawa akibat kebakaran dan keganasan rusuhan. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM