MOSCOW, 16 Februari- Pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny meninggal dunia pada usia 47 tahun.
Navalny meninggal dunia di koloni penjara Artik, tempat dia menjalani hukuman penjara selama 19 tahun dan berita itu disahkan perkhidmatan penjara Rusia.
Bagaimanapun, punca kematian masih belum dikenal pasti.
"Navalny tidak sedarkan diri selepas berjalan-jalan dan tidak dapat disembuhkan oleh doktor."
"Navalny berasa sakit selepas berjalan-jalan, kemudia tidak sedarkan diri. Kakitangan perubatan tiba serta-merta dan pasukan ambulans dihubungi," kata jurucakap perkhidmatan penjara itu.
Jawatankuasa Penyiasatan Rusia memaklumkan pihaknya telah membuka siasatan ke atas kematian itu.
Kerajaan Barat segera menyerang Kremlin atas kematian pengkritik paling lantang Presiden Vladimir Putin.
Setiausaha akhbar Navalny, Kira Yarmysh berkata pasukannya tidak dimaklumkan mengenai kematian majikannya.
"Peguam Alexei kini dalam penerbangan ke Kharp, lokasi jajahan penjaranya," kata Kira dalam catatan di media sosial.
Memetik jurucakapnya, agensi berita Rusia melaporkan bahawa Putin telah dimaklumkan mengenai kematian Navalny.
Kerajaan Barat dan tokoh pembangkang Rusia pada Jumaat berkata Kremlin bertanggungjawab atas kematiannya.
Presiden Latvia berkata dia telah "dibunuh dengan kejam oleh Kremlin".
“Kerajaan Rusia memikul tanggungjawab yang berat,” tulis Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide di X, sebelum ini Twitter.
Menteri Luar Perancis berkata Navalny telah membayar dengan nyawanya kerana menentang penindasan.
Alexei Navalny adalah pemimpin pembangkang paling terkenal di Rusia dan mempunyai pengikut paling ramai atas kritikannya untuk memerangi jenayah rasuah di Rusia.- AFP