fb fb fb fb fb

Pemimpin EU setuju beri Ukraine, Moldova, status calon anggota

(Presiden Perancis Emmanuel Macron (kiri) semasa
sidang akhbar Majlis Eropah di Brussels/AFP)

BRUSSELS, 24 Jun- Para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) sebulat suara bersetuju memberikan Ukraine dan Moldova, status calon anggota blok itu.

Presiden Majlis Eropah, Charles Michel menyifatkan persetujuan tersebut sebagai tanda simbolik sokongan Eropah kepada Ukraine.

"Satu detik bersejarah. Hari ini menandakan satu langkah penting dalam laluan anda ke arah EU," tulis Michel di Twitter semasa sidang kemuncak di Brussels.

"Masa depan kita bersama", katanya.


(Presiden Majlis Eropah, Charles Michel (kanan) 
semasa sidang akhbar di Brussels/AFP) 

Dua negara bekas Soviet itu kini perlu melakukan pembaharuan besar, serta rundingan lanjut.

EU juga telah membentangkan beberapa langkah yang perlu diambil Kiev. Ini termasuk memperkukuh kedaulatan undang-undang dan memerangi rasuah, sebelum negara itu dibenarkan ke peringkat seterusnya seperti rundingan penyertaan.

Ukraine memohon untuk menjadi calon EU dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya di Eropah hanya beberapa hari selepas Moscow melancarkan pencerobohan.

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata langkah itu menghantar isyarat yang sangat kuat kepada Kremlin bahawa EU menyokong aspirasi pro-Barat Ukraine.

“Kami berhutang budi kepada rakyat Ukraine yang berjuang untuk mempertahankan nilai kami, kedaulatan mereka, integriti wilayah mereka,” katanya.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky di Twitter memuji keputusan EU ke atas negaranya dan Moldova sebagai saat yang unik dan bersejarah dalam hubungan Ukraine-EU, sambil menambah bahawa masa depan Ukraine adalah dalam EU.-AFP

Media Baharu