KUALA LUMPUR, 10 September - Pemimpin-pemimpin negara luar perlu mengikuti keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, langkah Perdana Menteri Malaysia telah dibuktikan selepas beliau menjadi penaung rasmi Sumud Nusantara selain menyokong penuh terhadap misi kemanusiaan flotilla ke Gaza.
“Perdana Menteri telah membuktikan keberanian dengan mendahului langkah berani ini. Justeru, saya menyeru para pemimpin serantau seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Bhutan, Nepal, Filipina dan Thailand untuk turut menyatakan sokongan rasmi demi menjayakan misi Global Sumud Flotilla,” katanya semasa sidang media Global Sumud Flotilla, di Tunis, Tunisia, hari ini.
Sementara itu, Chief de Mission Malaysia (GSF) Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery menyifatkan sokongan kerajaan Malaysia terhadap misi berkenaan sebagai isyarat kebangkitan rakyat dan negara dalam usaha menghentikan peperangan melalui pelbagai pendekatan.
“Misi kemanusiaan ini adalah indikator kebangkitan bersama rakyat dan pihak kerajaan. Ia bukan hanya melalui diplomasi dan persidangan, malah turut diterjemahkan dengan tindakan berani menghantar flotilla ke Gaza.
Kita bersama 44 negara, dengan kumpulan terbesar dari 10 negara Nusantara,” katanya.
Global Sumud Flotilla dijangka menjadi misi kemanusiaan terbesar rantau ini, sekali gus memperkukuh solidariti Nusantara dan dunia terhadap Palestin. - AlHijrah Online