AMERIKA SYARIKAT, 10 September -Obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kini mengatasi masalah kekurangan zat makanan sebagai bentuk malnutrisi utama di seluruh dunia buat kali pertama bagi golongan berusia lima hingga 19 tahun.
Ketua Pengarah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Catherine Russell dalam kenyataan berkata, hampir satu daripada 10 individu dalam kumpulan umur tersebut akan menghidap obesiti menjelang tahun ini.
Makanan ultra-proses yang tidak berkhasiat menjadi penyebab kepada masalah itu. Ia termasuk juga di negara-negara yang masih bergelut dengan masalah kekurangan zat makanan.
"Hari ini, apabila kita bercakap tentang malnutrisi, ia bukan lagi sekadar berkaitan kanak-kanak yang kurang berat badan.
"Makanan ultra-proses semakin menggantikan buah-buahan, sayur-sayuran dan protein ketika pemakanan yang baik sangat penting untuk pertumbuhan, perkembangan kognitif dan kesihatan mental kanak-kanak."katanya.
UNICEF melaporkan bahawa kadar kanak-kanak dan remaja yang kekurangan berat badan berkurangan daripada 13 peratus pada 2000 kepada 10 peratus pada 2022, berdasarkan data dari 190 negara.
Namun, dalam tempoh yang sama, bilangan mereka yang berlebihan berat badan meningkat dua kali ganda daripada 194 juta kepada 391 juta.
Kadar obesiti pula meningkat lebih ketara. Pada 2022, seramai 163 juta kanak-kanak dan remaja (8%) di seluruh dunia mengalami obesiti, berbanding hanya 3% pada tahun 2000.
Tahun ini, UNICEF menganggarkan bahawa kadar obesiti global dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia 5 hingga 19 tahun telah mencapai 9.4%, sekali gus mengatasi kadar kekurangan berat badan yang kini pada paras 9.2%. Ini menandakan satu titik perubahan bersejarah dalam isu malnutrisi global.
UNICEF menyalahkan amalan perniagaan yang tidak beretika terutamanya pemasaran makanan ringan dan minuman bergula kepada kanak-kanak sebagai punca utama krisis tersebut.
Pakar undang-undang pemakanan UNICEF, Katherine Shats, produk-produk tersebut selalumya lebih murah dan mudah didapati berbanding makanan segar, menyebabkan keluarga semakin bergantung kepada makanan ultra-proses.
UNICEF menegaskan bahawa masalah pemilihan makanan itu bukan disebabkan oleh pilihan individu atau keluarga, tetapi merupakan "kegagalan masyarakat dalam melindungi persekitaran tempat kanak-kanak membesar."
Laporan itu turut mengkritik naratif palsu bahawa aktiviti sukan semata-mata boleh mengimbangi diet tidak sihat. "Adalah mustahil untuk 'melarikan diri' daripada kesan kesihatan akibat diet tinggi gula, kanji halus, garam, lemak trans, bahan tambahan berbahaya dan tenaga berlebihan hanya melalui aktiviti fizikal."
UNICEF menyeru seluruh negara agar melaksanakan langkah-langkah tegas, termasuk, mengenakan sekatan terhadap iklan makanan tidak sihat yang menyasarkan kanak-kanak, mengenakan cukai ke atas minuman bergula dan makanan ultra-proses, polisi untuk menyokong pengeluaran dan akses kepada makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan protein
"Melindungi kanak-kanak daripada krisis pemakanan yang baharu ini bukan sahaja soal kesihatan individu, tetapi tanggungjawab kolektif masyarakat," tegas UNICEF. - AFP