fb fb fb fb fb

Pemimpin dunia kecam keganasan politik, tembakan ke atas Trump

Donald Trump dibantu oleh pegawai Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat selepas tembakan di Butler Farm Show, Pennsylvania/ REUTERS

WASHINGTON, 14 Julai- Pemimpin dunia mengecam serangan ke atas Donald Trump pada Sabtu dalam perhimpunan di Pennsylvania. Selain itu kejadian berkenaan turut dikecam berikutan mencetuskan keganasan politik.

Trump akan bertanding semula untuk White House pada pilihan raya Amerika Syarikat pada November.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengenal pasti Thomas Matthew Crooks, 20, dari Bethel Park, Pennsylvania, sebagai "susjek yang terlibat" dalam cubaan bunuh itu.

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengecam tembakan itu dan menyebutnya sebagai "tindakan keganasan politik."

Sementara itu Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, berkata, "kita mesti berdiri teguh menentang sebarang bentuk keganasan yang mencabar demokrasi."

Manakala Perdana Menteri Britain Keir Starmer, mengatakan beliau "terkejut dengan kejadian tembak" pada perhimpunan itu.

"Keganasan politik dalam apa jua bentuk tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita dan pemikiran saya adalah dengan semua mangsa serangan ini."

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyifatkan tembakan itu "membimbangkan," manakala Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata, "keganasan politik tidak boleh diterima."

Komen yang sama turut dibuat oleh pemimpin Kesatuan Eropah, Mesir, Thailand, Taiwan, Korea Selatan, New Zealand, Itali, Sweden, Belanda dan Filipina.

"Ia adalah satu tragedi bagi negara demokrasi kita," kata Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai kejadian tembakan itu.

"Perancis berkongsi kejutan dan kemarahan rakyat Amerika Syarikat."

Perdana Menteri Hungary Viktor Orban, yang bertemu Trump minggu ini semasa melawat Amerika Syarikat untuk sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut mendoakan kesejahteraan Trump.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menyifatkan tembakan itu tidak boleh diterima dan menggesa pihak lain mengecam tindakan berkenaan.

"Serangan terhadap bekas Presiden Donald Trump mesti dinafikan sekeras-kerasnya oleh semua pembela demokrasi dan dialog dalam politik," kata pemimpin Brazil itu.

Perdana Menteri India, Narendra Modi turut mendoakan kesembuhan Trump dan "mengecam sekeras-kerasnya insiden itu. Keganasan tidak mempunyai tempat dalam politik dan demokrasi."- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI