fb fb fb fb fb

Pemimpin Balkan Barat, EU bincang rancangan ekonomi serantau

Bendera Kesatuan Eropah (EU)/REUTERS

MONTENEGRO, 16 Mei- Enam negara Balkan Barat yang disatukan oleh Kesatuan Eropah (EU) mengadakan pertemuan di pusat peranginan Adriatik Montenegro di Kotor dalam usaha mempercepatkan pembaharuan, mewujudkan pasaran tunggal bagi menyertai blok itu.

Setelah dijanjikan keahlian EU bertahun-tahun yang lalu, proses penyertaan merentasi rantau yang terdiri daripada Albania, Bosnia, Kosovo, Montenegro, Macedonia Utara dan Serbia sedikit terganggu kerana keengganan dalam kalangan 27 ahli EU dan kekurangan pembaharuan di seluruh rantau itu.

EU mahu menggunakan pelan pertumbuhan bersama bernilai $6.52 bilion untuk membantu negara-negara Balkan Barat membentuk pasaran serantau dan menyertai pasaran Eropah seperti perdagangan bebas dan perkhidmatan, pengangkutan dan tenaga.

Tetapi mereka mesti melaksanakan pembaharuan dan menyelesaikan isu tertunggak dengan jiran mereka.

"Pelan pertumbuhan bukan lagi draf, ia adalah perkara yang kami mula laksanakan," kata Pesuruhjaya Eropah Oliver Varhely.

Salah satu insentif ialah negara dari rantau itu boleh mengakses Kawasan Pembayaran Eropah Tunggal (SEPA), inisiatif pembayaran EU bertujuan memudahkan pemindahan bank dalam euro.

Itu akan membawa penjimatan yang besar, kata Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Hal Shwal Eropah dan Eurasia James O'Brien.

"(Ini) akan mengurangkan kos sebanyak mungkin tujuh peratus setiap kali seseorang menghantar wang. Ini akan mengurangkan kos pinjaman, yang akan membolehkan perniagaan berkembang," katanya.

Serbia dan Montenegro adalah yang pertama di rantau itu melancarkan rundingan keahlian EU manakala Albania dan Macedonia Utara memulakan perbincangan dengan Brussels pada 2022.

Sementara itu Bosnia dan Kosovo ketinggalan jauh dalam proses berkenaan.

Montenegro, Macedonia Utara dan Albania juga merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI