NEW DELHI, 7 Julai- Pemimpin-pemimpin Asia Selatan menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian serta menzahirkan hasrat mereka untuk mengukuhkan hubungan dengan negara itu.
Presiden Maldives, Mohamed Muizzu menyatakan kesediaannya untuk mengukuhkan hubungan antara Maldives dan Iran di bawah kepimpinan Pezeshkian dan mendoakan pemimpin baharu itu berjaya "dalam usaha mempromosikan keamanan dan kemakmuran di Iran dan rantau ini".
Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata beliau berharap untuk mengukuhkan "hubungan dua hala yang mesra dan lama demi kepentingan rakyat dan rantau ini".
Negara jiran Iran turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Pezeshkian atas kemenangannya.
Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi dalam satu kenyataan berkata bahawa Afghanistan berharap kerajaan baharu Iran akan memperkukuh dan memperluas hubungan dua hala dalam pelbagai bidang.
Majlis pelantikan presiden baharu akan diadakan antara 22 Julai dan 5 Ogos, menurut media Iran.
Malaysia pada Sabtu menyifatkan kemenangan Pezeshkian sebagai hasil yang "mencerminkan semangat demokrasi Iran".
"Saya berharap dapat mengalu-alukan Dr. Pezeshkian ke Malaysia secepat mungkin," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- BERNAMA