(Ratu Elizabeth II dan Paddington Bear sedang menikmati teh krim di Istana Buckingham
menerusi filem yang ditayangkan di Pesta Platinum pada 4 Jun/AFP)
UNITED KINGDOM, 5 Jun - Warga Britain berpesta meraikan sambutan ulang tahun ke-70 pemerintahan Ratu Elizabeth II dengan mengadakan pelbagai persembahan di luar Istana Buckingham, semalam.
Putera Charles turut menyampaikan penghargaan dan kata-kata aluan pada sambutan itu.
Konsert Khas ini menjadi acara kemuncak sambutan Jubli Platinum selama tiga hari bagi meraikan tempoh pemerintahan Ratu Elizabeth yang kini berusia 96 tahun.
Puluhan ribu orang memenuhi pusat bandar manakala jutaan menonton di televisyen menyaksikan barisan penghibur dan mesej peribadi daripada tokoh terkemuka di Britain.
Ratu Elizabeth membuat dua kemunculan awal di beranda Istana Buckingham pada hari pertama sambutan.
(Orang ramai mengibarkan bendera British sambil bersorak semasa
Pesta Jubli Platinum Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham semalam/FOTO AFP)
Namun Khamis lalu, baginda mengalami beberapa ketidakselesaan berikutan kesukaran untuk berjalan dan berdiri.
Ratu Elizabeth kemudian menarik diri daripada menghadiri upacara gereja Jumaat lalu.
Britain mengisytiharkan Khamis dan Jumaat lalu sebagai cuti umum untuk menandakan peristiwa penting diraja yang memberikan tumpuan kepada masa depan monarki tanpa Ratu Elizabeth.