BRAZIL, 5 Jun - Jumlah kematian akibat hujan lebat dan tanah runtuh di Brazil telah meningkat kepada 128 orang.
Manakala, lebih 9,000 orang lagi telah dipindahkan dan 34 bandar telah mengisytiharkan darurat.
Gabenor Pernambuco, Paulo Camara berkata, hujan lebat melanda Pernambuco sejak minggu lalu telah mengorbankan lebih 100 orang, kebanyakan maut akibat kejadian tanah runtuh.
Kerajaan negeri akan memberi pampasan kepada keluarga mangsa, manakala mereka yang hilang tempat tinggal dan musnah harta benda juga akan diberi bantuan.
(Pemandangan udara kawasan di Recife, Pernambuco Brazil yang dilanda banjir akibat hujan lebat pada 30 Mei lalu/FOTO AFP)
Pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang terselamat dalam lumpur dan sisa tanah runtuh akibat banjir kilat.
Sukarelawan memberitahu, sukar untuk mencari mangsa yang terselamat kerana lapisan lumpur sangat tebal.
Sejak Disember lalu, hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di timur laut Brazil termasuk di Sao Paulo.
Presiden Brazil Jair Bolsonaro meninjau keadaan banjir manakala pihak berkuasa tempatan pula mengisytiharkan darurat bencana.