DHAKA, 7 Ogos - Pemenang Hadiah Nobel tunggal Bangladesh, Muhammad Yunus akan mengetuai kerajaan peralihan negara itu susulan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Selasa.
Keputusan yang disahkan oleh Setiausaha Akhbar Presiden, Joynal Abedin dicapai dalam satu mesyuarat yang melibatkan Presiden Mohammad Shahabuddin, ketua angkatan tentera dan pemimpin Gerakan Pelajar Antidiskriminasi Bangladesh.
Yunus kini berada di Paris untuk menjalani prosedur perubatan dan dijangka akan kembali ke Dhaka tidak lama lagi.
Pada petang Selasa, 13 penyelaras gerakan itu melawat kediaman rasmi presiden untuk membincangkan situasi dan rangka kerja kerajaan sementara dengan Shahabuddin yang turut disertai ketua angkatan tentera darat, laut dan udara turut serta.
Keputusan untuk membentuk kerajaan sementara dibuat selepas perbincangan antara Shahabuddin, penyelaras dan pemimpin tentera.
Tiada sebarang komen segera daripada beliau sebagai maklum balas kepada pelantikan tersebut. Ia juga tidak diketahui dengan segera bila kerajaan sementara akan mengambil alih kuasa.
Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan melarikan diri ke negara jiran, India pada Isnin dan kabinet dibubarkan sejurus selepas itu.
Berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, Ketua Tentera Bangladesh, Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan sebuah kerajaan peralihan akan dibentuk untuk mentadbir negara.
Pada Selasa, Shahabuddin turut membubarkan Parlimen negara itu.-REUTERS