fb fb fb fb fb

Konsert Taylor Swift di Vienna dibatalkan akibat ancaman keganasan

Taylor Swift/ AFP

VIENNA, 8 Ogos- Tiga konsert Taylor Swift di Vienna minggu ini dibatalkan selepas penganjur mengesahkan dua suspek ditahan kerana didakwa merancang serangan pengganas.

Keputusan untuk membatalkan konsert yang dijadualkan pada Khamis, Jumaat dan Sabtu minggu ini diumumkan oleh Barracuda Music menerusi hantaran di Instagram.

Ia dibuat beberapa jam selepas penguatkuasa undang-undang Austria mengumumkan bahawa dua individu ditahan kerana disyaki merancang serangan, termasuk di konsert Swift.

"Dengan pengesahan daripada pegawai kerajaan mengenai serangan pengganas yang dirancang di Stadium Ernst Happel, kami tidak mempunyai pilihan selain membatalkan tiga rancangan yang dijadualkan untuk keselamatan semua orang. Semua tiket akan dibayar balik secara automatik,"kata Barracuda Music.

Pengarah keselamatan awam di Kementerian Dalam Negeri Austria, Franz Ruf berkata bahan kimia telah dirampas daripada seorang warga Austria berusia 19 tahun.

Polis turut menggeledah kediaman salah seorang suspek di bandar Ternitz, dan sedang menganalisis barang-barang dari rumah itu.

Media tempatan, memetik sumber polis, berkata tiga suspek masih dalam buruan.

Swift, 34, masih belum mengulas mengenai pembatalan itu di akaun Instagram rasminya yang mempunyai 283 juta pengikut.

Selepas Vienna, Swift dijadualkan terlibat enam konsert Stadium Wembley, London bermula pada 15 Ogos.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI