fb fb fb fb fb

Pembunuhan Ketua pemberontak Sikh: India tunggu maklumat lanjut Kanada

Ketiga-tiga suspek ditahan Polis Kanada di Edmonton, Alberta pada Jumaat lalu / Foto Reuters

BHUBANESWAR, 4 Mei - India sedang menunggu maklumat penuh daripada Polis Kanada berhubung penangkapan tiga lelaki warga India yang didakwa atas tuduhan membunuh ketua pemberontak Sikh tahun lalu, kata Menteri Luarnya, Subrahmanyam Jaishankar pada Sabtu.

Jumaat lalu, Polis Kanada menahan tiga lelaki didakwa terlibat dalam pembunuhan ketua pemberontak Sikh, Hardeep Singh Nijjar.

Polis Kanada percaya ketiga-tiga suspek mempunyai kaitan dengan kerajaan India.

Jaishankar berkata dia telah menyaksikan berita penangkapan berkenaan.

Menurutnya, suspek berkemungkinan mempunyai latar belakang kumpulan jenayah.

"Kami terpaksa menunggu penjelasan pihak polis Kanada.

"Salah satu keutamaan kami yang telah dimaklumkan kepada Polis Kanada adalah mereka telah membenarkan sebuah kumpulan jenayah beroperasi di sana (Kanada)", ujar Jaishankar

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi India ke Kanada, Sanjay Verma berkata dia amat berharap agar mendapat maklumat terkini daripada Kerajaan Kanada berhubung penahanan tiga suspek india tersebut.

"Saya memahami penangkapan tersebut adalah hasil daripada penyiasatan yang dilakukan oleh pihak agensi keselamatan Kanada.

"ini merupakan masalah dalaman Kanada dan kami tidak berhak untuk membuat sebarang kenyataan", tambah Verma.

Ketiga-tiga suspek warganegara India tersebut ditahan di bandar Edmonton, Alberta pada Jumaat lalu, kata pihak polis.

Dalam kejadian tahun lalu, Nijjar, 45 tahun telah ditembak mati di luar sebuah kuil Sikh di Surrey, Vancouver yang menempatkan sebahagian besar penduduk Sikh.

Beberapa bulan selepas itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengeluarkan tuduhan terhadap kerajaan India berkaitan penglibatannya dalam pembunuhan berkenaan.

Tuduhan tersebut mencetuskan krisis diplomatik antara kedua-dua negara.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD