BANDARAYA PANAMA, 6 Mei - Jose Raul Mulino, anak didik bekas ketua negara yang disabitkan rasuah, telah diisytiharkan sebagai Presiden Panama selepas pilihan raya pada Ahad.
Mulino, 64, bekas Menteri Luar, Keselamatan dan Kehakiman memenangi pilihan raya itu dengan lebih satu pertiga undian, kata tribunal pilihan raya negara Amerika Tengah itu.
Sebelum itu, Naib Juara, Ricardo Lombana telah mengakui kekalahan.
Pilihan raya itu diadakan ketika negara itu bergelut dengan rasuah yang berakar umbi dan juga kemarau teruk yang menyebabkan Terusan Panama berdepan dengan situasi kritikal dari segi ekonomi dan juga peningkata jumlah kemasukan pendatang.
Mulino menggantikan bekas presiden, Ricardo Martinelli daripada calon parti sayap kanan selepas Martinelli kalah dalam rayuan terhadap sabitan pengubahan wang haram.
Pencalonan Mulino, yang pernah menjadi naib presiden kepada Martinelli sehingga kehilangan kelayakan bekas pemimpin itu, kemudian dicabar atas dasar bahawa dia tidak memenangi undian utama atau memilih pasangannya sendiri, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.
Tinjauan pendapat menunjukkan kebimbangan utama pengundi adalah kos sara hidup yang tinggi, akses kepada air minuman dan jenayah.
“Panama harus berubah. Terdapat terlalu banyak rasuah,” kata seorang pengundi, Jennifer Navarro.-AFP