fb fb fb fb fb

Mayat peluncur Australia, Amerika Syarikat dikenal pasti

Mayat adik beradik dari Australia, Callum, 33 dan Jake Robinson, 30, serta dari Amerika, Carter Rhoad, 30, ditemui di dasar telaga Baja California awal minggu ini selepas pencarian selama beberapa hari / Foto Reuters

BANDARAYA MEXICO, 6 Mei – Pihak berkuasa Mexico pada Ahad mengesahkan pelancong Amerika dan dua pelancong Australia yang hilang di utara Mexico minggu lepas telah meninggal dunia selepas mayat mereka dikenal pasti oleh ibu bapa.

Mayat adik beradik dari Australia, Callum, 33 dan Jake Robinson, 30, serta dari Amerika, Carter Rhoad, 30, ditemui di dasar telaga, Baja California awal minggu ini selepas pencarian selama beberapa hari.

Ketiga-tiga mereka hilang ketika sedang bercuti meluncur berhampiran bandar pelancongan popular Ensenada, kira-kira 90 minit ke selatan sempadan AS-Mexico di pantai Pasifik.

Pejabat Peguam Negara negeri California dalam satu kenyataan berkata, pengesahan dikeluarkan sebaik ibu bapa mangsa "dapat mengenal pasti mereka, tanpa memerlukan ujian genetik".

Peguam Negara Negeri, Elena Andrade memberitahu ibu bapa dan pegawai diplomatik bahawa terdapat "komitmen institusi keseluruhan untuk meneruskan siasatan kejadian malang ini sehingga mereka yang bertanggungjawab menerima undang-undang sepenuhnya", tambah kenyataan itu.

Andrade pada Sabtu, memaklumkan bahawa mayat ditemui dalam keadaan yang reput di dasar perigi sedalam lebih 15 meter.

Sumber dari pejabat peguam negara memberitahu Reuters bahawa ketiga-tiga mayat itu mempunyai satu tembakan di kepala.

Tiga orang telah ditangkap setakat ini, kata pegawai. Sebuah kenderaan hangus dipercayai digunakan tiga peluncur itu turut ditemui di kawasan tersebut.

Hipotesis awal pihak berkuasa Mexico terhadap mereka yang ditahan mengatakan bahawa mereka cuba merampas kereta yang dinaiki ketiga-tiga peluncur itu dan apabila peluncur menentang mereka ditembak dan mayat mereka dibuang ke dalam perigi.

Ketiga-tiga peluncur itu kali terakhir dilihat pada 27 April dan dilaporkan hilang beberapa hari kemudian, apabila pihak berkuasa melancarkan pencarian dengan bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Baja California adalah salah satu negeri Mexico yang paling ganas, walaupun kawasan Ensenada dianggap lebih selamat. Jabatan Negara AS menasihatkan rakyat Amerika untuk mempertimbangkan semula perjalanan ke negeri itu disebabkan jenayah dan penculikan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN