fb fb fb fb fb

Angka kematian akibat banjir di selatan Brazil meningkat kepada 75 orang

Seramai 155 orang cedera dan 103 lagi masih hilang manakala 107,600 penduduk telah dipindahkan ke tempat selamat di 334 daripada 496 bandar di negeri itu / Foto AFP

PORTO ALEGRE, 6 Mei - Angka kematian akibat banjir di negeri Rio Grande do Sul, selatan Brazil sejak 29 April lepas telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 75 orang, menurut agensi Pertahanan Awam dalam laporan terbaharunya pada Ahad.

Seramai 155 orang cedera dan 103 lagi masih hilang manakala 107,600 penduduk telah dipindahkan ke tempat selamat di 334 daripada 496 bandar di negeri itu.

Menurut agensi Pertahanan Awam, kira-kira 780,000 penduduk telah terjejas banjir dengan beribu-ribu orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka dengan bot atau naik ke atas bumbung dengan harapan dapat diselamatkan oleh helikopter.

Sementara itu, Gabenor Rio Grande do Sul, Eduardo Leite menyifatkan keadaan di negerinya umpama sebuah "medan perang".

"Ia kelihatan seperti adegan perang, dan selepas ia berakhir ia akan memerlukan pendekatan selepas perang," kata gabenor Rio Grande do Sul, Eduardo Leite.

Presiden, Luiz Inacio Lula da Silva berjanji bahawa kerajaan akan menyediakan semua sumber yang diperlukan untuk pembinaan semula.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN