BHUBANESWAR, 5 Mei - India sedang menunggu maklumat dari polis Kanada mengenai tangkapan tiga lelaki warganegaranya yang didakwa atas pembunuhan seorang pemimpin pemisah Sikh tahun lepas, kata Menteri Luar, Subrahmanyam Jaishankar pada Sabtu.
Polis Kanada mendakwa ketiga-tiga mereka ditahan pada Jumaat atas pembunuhan pemimpin pemisah Sikh, Hardeep Singh Nijjar dan berkata mereka sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai kaitan dengan kerajaan India.
Jaishankar berkata dia telah mengetahui berita tentang penahanan itu dan berkata suspek "merupakan orang India yang mempunyai latar belakang kumpulan samseng dan kami perlu menunggu polis memaklumkan kepada kami."
"Tetapi, seperti yang saya katakan, salah satu kebimbangan kami yang telah kami sampaikan kepada mereka ialah, mereka telah membenarkan jenayah terancang dari India, khususnya dari Punjab, untuk beroperasi di Kanada," kata Jaishankar.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Kanada, Sanjay Verma berharap akan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa Kanada berhubung penahanan tiga warga India itu.
"Saya difahamkan bahawa tangkapan telah dibuat hasil daripada siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang Kanada yang berkaitan. Isu ini adalah isu dalaman Kanada, oleh itu kami tidak mempunyai sebarang komen untuk dimaklumkan dalam hal ini," tambah Verma.
Ketiga-tiga mereka, kesemuanya warga India, ditahan di bandar Edmonton di Alberta pada Jumaat, kata polis.
Nijjar, 45, ditembak mati pada bulan Jun di luar sebuah kuil Sikh di Surrey, pinggir bandar Vancouver dengan penduduk Sikh yang ramai.
Beberapa bulan kemudian, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau memetik dakwaan yang boleh dipercayai tentang penglibatan kerajaan India, yang menyebabkan krisis diplomatik dengan New Delhi.
Polis Kanada berkata mereka telah bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang Amerika Syarikat (AS), tanpa memberikan butiran tambahan, dan mencadangkan lebih banyak penahanan akan dilakukan pada masa akan datang.-REUTERS