ANKARA, 11 Julai- Pembunuh Shinzo Abe menguji senjatanya sebelum dia menembak mati bekas perdana menteri Jepun itu, lapor Agensi Anadolu, memetik media tempatan.
Penyerang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, 41, berkata dia telah menguji senjata api buatan sendiri di sebuah fasiliti sebagai persediaan sebelum serangan itu, menurut media tempatan NHK pada Ahad.
(Tetsuya Yamagami, suspek pembunuhan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe / Foto AFP, STR, JIJI PRESS)
Seorang detektif yang menyiasat kejadian itu berkata, Yamagami pada mulanya bercadang untuk menyerang ketua kumpulan keagamaan tertentu tetapi akhirnya menukar fikiran dan mensasarkan Abe.
Abe ditembak pada Jumaat ketika sedang berkempen untuk pilihan raya di bandar Nara dan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan yang dialaminya. -BERNAMA