KINSHASA, 4 Februari-Menteri Komunikasi Congo, Patrick Muyaya menggesa agar masyarakat antarabangsa mengambil tindakan konkrit dan mengenakan sekatan terhadap Rwanda bagi membendung konflik pemberontak M23 di timur Congo serta mengekalkan keamanan di rantau Afrika.
"Keputusan tegas mesti diambil, bukan hanya untuk mengecam tetapi untuk menghentikan apa yang dilakukan oleh Rwanda, kerana ia tidak boleh diterima jika kita mahu mengekalkan keamanan di Afrika dan di rantau kita," kata Patrick Muyaya dalam satu temu bual di sini.
Peningkatan pertempuran yang berterusan telah menyebabkan kira-kira setengah juta orang lagi terpaksa berpindah dan membawa kepada penguasaan bandar terbesar di timur Congo, Goma, minggu lalu.
Perkembangan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan tentang peperangan serantau yang pernah mengorbankan berjuta-juta nyawa antara tahun 1996 hingga 2003, kebanyakannya akibat kebuluran dan penyakit.
Kuasa asing termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah mengecam penglibatan Rwanda dalam konflik berkenaan.
Laporan PBB menyatakan bahawa Rwanda telah menghantar ribuan tenteranya dan membekalkan senjata untuk menyokong pemberontak M23 yang dipimpin oleh etnik Tutsi.
"Sekatan adalah minimum dalam konteks yang menyaksikan terdapat pelanggaran undang-undang antarabangsa secara sengaja, dalam konteks pembunuhan tanpa diskriminasi," tambah Muyaya, yang juga merupakan jurucakap kerajaan Congo.
Rwanda sebelum ini menyatakan bahawa ia hanya mempertahankandiri daripada ancaman pemberontak Congo, tanpa mengulas secara langsung sama ada tenteranya telah menyeberangi sempadan.
Setakat Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan Congo telah merekodkan 773 kematian dan 2,800 orang cedera di dalam dan sekitar Goma selepas bandar itu jatuh ke tangan pemberontak.
Pada hari Isnin, pejuang M23 berkawal di sebuah tanah perkuburan di Goma ketika pekerja Palang Merah tempatan mengebumikan 120 mayat yang sudah mereput bagi mengurangkan tekanan ke atas rumah mayat bandar yang penuh sesak, menurut seorang wartawan Reuters.
Ketika tentera Congo berusaha untuk menahan kemaraan pemberontak ke arah selatan menuju ke wilayah bersebelahan, selatan Kivu, Presiden Congo Felix Tshisekedi dan Presiden Rwanda Paul Kagame telah bersetuju untuk menghadiri sidang kemuncak bersama blok serantau Afrika Selatan dan Timur pada 7-8 Februari, kata Presiden Kenya pada hari Isnin.
Muyaya berkata bahawa sekatan adalah perlu bagi memaksa Rwanda untuk terlibat secara serius dalam sebarang rundingan.
Congo sedang aktif mengejar penyelesaian diplomatik dan ketenteraan, tambahnya, ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk cuba mengambil semula Goma.
"Bagi kami sebagai kerajaan, adalah tidak masuk akal untuk meninggalkan rakyat kami di bawah belas kasihan para penceroboh."
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan bimbang tentang situasi di wilayah utara Kivu, tetapi menegaskan bahawa "tidak perlu panik" mengenai selatan Kivu.
Pada Jumaat, Perancis mengumumkan bahawa ia akan mencadangkan draf resolusi di Majlis Keselamatan PBB bagi meningkatkan tekanan terhadap Rwanda supaya menarik balik tenteranya.-REUTERS.