fb fb fb fb fb

Projek hidrogen hijau Australia terancam selepas kerajaan negeri tarik sokongan

Foto kerajaan Negeri Queensland

SYDNEY, 4 Februari – Nasib sebuah projek utama hidrogen hijau di Australia kini dalam keadaan tidak menentu selepas kerajaan negeri menarik balik sokongannya, sekali gus memberi tamparan kepada cita-cita negara itu ke arah tenaga boleh diperbaharui.

Projek tersebut bertujuan membina loji pengeluaran hidrogen di Negeri Queensland tengah, yang akan menghasilkan bahan api rendah karbon untuk dieksport ke Jepun dan Singapura.

Walaupun kerajaan Australia telah memperuntukkan AS$40 juta untuk pembinaan, pegawai negeri menarik sokongan mereka pada Isnin dengan alasan kos yang semakin meningkat.

Menteri Perubahan Iklim Australia,Chris Bowen menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang “mengejutkan dan mengecewakan.”

“Hidrogen hijau selaras dengan kelebihan unik Australia, dan kami tidak akan meminta maaf kerana meneruskan industri yang diiktiraf sebagai penting untuk masa depan sektor pembuatan dan tenaga, di Australia dan di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bowen berkata keputusan kini terletak pada pihak berkepentingan dalam projek terbabit.

Syarikat Jepun, Iwatani Corporation dan Marubeni Corporation, disenaraikan sebagai rakan kongsi bersama pengurus aset berpangkalan di Singapura, Keppel.

Jurucakap kerajaan negeri Queensland berkata kos pembinaan infrastruktur dan kemudahan penghantaran baharu akan mencecah ratusan juta dolar AS.

Kerajaan Australia berhasrat membina tujuh “hab hidrogen” di seluruh negara.

Dikuasakan oleh panel solar dan turbin angin, hab itu akan menggunakan proses elektrolisis untuk membelah molekul air kepada hidrogen dan oksigen.

Hidrogen hijau yang terhasil kemudiannya akan dicairkan dan dihantar ke luar negara, dan boleh digunakan dalam industri berat seperti pembuatan keluli sebagai bahan api mesra alam.

Negara seperti Jepun, Jerman, dan Singapura semakin mencari bekalan hidrogen yang boleh dipercayai.

Namun, pengeluaran hidrogen hijau berdepan pelbagai cabaran teknikal serta kos infrastruktur khas yang tinggi.

Pada Oktober lalu, syarikat utiliti Australia, Origin Energy, menarik diri daripada sebuah projek loji hidrogen yang dirancang, dengan alasan pasaran global berkembang lebih perlahan daripada jangkaan.

Sebelum itu, hartawan perlombongan Andrew Forrest turut membatalkan rancangan serupa.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) tahun lalu melaporkan bahawa beberapa projek telah dibatalkan akibat ketidakpastian mengenai permintaan atau peraturan, halangan kewangan, serta isu perlesenan dan kelulusan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD