fb fb fb fb fb

Pemberontak Myanmar kuasai bandar utama di sempadan China

FOTO AFP

LAUKKAI (Myanmar), 6 Januari- Pakatan pemberontak Myanmar berjaya menguasai bandar penting di sepanjang sempadan utara negara dengan China selepas pertempuran sengit berminggu-minggu dengan tentera junta.

Dikenali sebagai 'Perikatan Tiga Bersaudara',kumpulan itu mengambil alih bandar Laukkai selepas ibu pejabat wilayah tentera Myanmar yang terletak di sana menyerah kalah.

Kejatuhan Laukkai adalah kemenangan terbaru pemberontak dalam serangan menyeluruh yang bermula pada Oktober dan menjadi ancaman paling ketara kepada kerajaan tentera Myanmar sejak rampasan kuasa 2021.

"Semua wilayah Kokang (Laukkai) sudah menjadi tanah tanpa penguasaan Majlis Tentera Myanmar lagi," menurut kenyataan dikeluarkan pakatan itu manakala jurucakap junta enggan mengulas lanjut.

Jurucakap Junta, Zaw Min Tun memberitahu media tempatan, Popular News hari ini bahawa pihak tentera telah memutuskan untuk menyerah diri selepas "pertimbangan yang hebat."

Perikatan membabitkan tiga kumpulan berpengalaman pertempuran yang luas iaitu Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TNLA) dan Tentera Arakan (AA).

Mereka turut disokong Angkatan Pertahanan Rakyat dan pentadbiran bayangan Myamar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), menunjukkan pemberontakan berada pada tahap penyelarasan dan perancangan yang terancang.

Konflik bersenjata antara tentera dan kumpulan pemberontak telah meningkat di utara Myanmar sejak akhir Oktober.

Negara jiran China, menggesa gencatan senjata berikutan perdagangan dua hala terjejas.

Ibu kota wilayah Kokang, Myanmar yang bergolak, Laukkai mempunyai reputasi sebagai sarang perjudian dan hab untuk operasi penipuan dalam talian.

China, sekutu junta utama yang juga mempunyai hubungan rapat dengan beberapa militan etnik Cina di sepanjang sempadan, kecewa dalam beberapa bulan kebelakangan ini kerana kurangnya tindakan junta untuk membanteras pusat penipuan.

'Perikatan Tiga Bersaudara' berkata, objektif utama mereka termasuk membersihkan pusat penipuan.

Pada akhir Disember, China menggesa rakyatnya meninggalkan kawasan Laukkai, yang menjadi bekas ibu pejabat MNDAA atas alasan risiko keselamatan.

Penyerahan Laukkai 'menandakan Perintah Operasi Serantau pertama yang gagal', menurut penganalisis politik, Ye Myo Hein dalam satu catatan di platform media sosial X.

Tentera Myanmar mempunyai lebih sedozen Perintah Operasi Serantau seumpamanya yang tersebar di seluruh negara. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI