(Pegawai polis menunggu waran geledah di hadapan rumah Alek Minassian, di Richmond Hill, Ontario, Kanada, 25 April 2018/REUTERS)
MONTREAL, 14 Jun - Seorang lelaki Kanada yang merempuh van sewanya ke arah sekumpulan pejalan kaki di pusat bandar Toronto pada 2018 dan membunuh 11 daripadanya, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol selama 25 tahun.
Alek Minassian, yang berusia 25 tahun pada masa kejadian, didapati bersalah oleh hakim Kanada lebih setahun lalu, pada Mac 2021.
Hukuman itu dibuat kurang tiga minggu selepas Mahkamah Agung Kanada membatalkan hukuman terkumpul bagi pembunuh, peruntukan kanun jenayah sejak 2011 yang memberi kuasa kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara yang sangat panjang ke atas pembunuh yang menyebabkan banyak kematian.
Mahkamah membuat kesimpulan bahawa hukuman penjara yang "melebihi jangka hayat mana-mana manusia adalah merendahkan martabatnya kerana tidak masuk akal dan, oleh itu, bertentangan dengan maruah manusia".
"Saya pasti tidak berpuas hati," kata Elwood Delaney, yang neneknya meninggal dunia dalam serangan itu, memberitahu pemberita.
(Keluarga mangsa yang terlibat van maut 2018, di luar Mahkamah Keadilan Tinggi wilayah di Toronto, Ontario, Kanada 3 Mac 2021/REUTERS)
Minassian "duduk di sana, tidak menunjukkan emosi, hampir tidak memandang ke arah sesiapa yang membaca kenyataan impak," sambil menambah, "Saya menyimpan banyak kemarahan terhadap lelaki itu."
Pada 23 April 2018, Minassian memandu laju sebuah van sewa putih menyusuri jalan dan kaki lima di metropolis Kanada, menyasarkan orang yang lalu lalang.
Sepuluh orang terbunuh dan 16 cedera dalam insiden itu tetapi angka kematian meningkat kepada 11 orang pada akhir Oktober 2021 apabila seorang wanita yang cedera dan menjalani rawatan selama lebih tiga tahun di hospital turut meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. -AFP