fb fb fb fb fb

Peluru berpandu Rusia bunuh 20 individu, musnahkan hospital kanak-kanak Kiev

Pasukan penyelamat membersihkan runtuhan Hospital Kanak-kanak Ohmatdyt yang musnah berikutan serangan peluru berpandu di Kiev/ AFP

KIEV, 8 Julai- Sekurang-kurangnya 20 individu terbunuh dalam serangan berpuluh-puluh peluru berpandu oleh Rusia yang turut merempuh sebuah hospital kanak-kanak di Kiev, kata pegawai.

Serangan Rusia pada Isnin berlaku ketika Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky tiba di Warsaw, kata kerajaan Poland, sebelum dia terbang ke sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington.

Letupan turut kedengaran dan asap hitam boleh dilihat dari pusat bandar Kiev, lapor wartawan AFP.

Gambar yang diedarkan oleh pegawai perubatan kanak-kanak di Kiev menunjukkan orang ramai menggali timbunan runtuhan, asap hitam berkepul dan pakaian kerja kakitangan perubatan berlumuran darah.

"Rusia sekali lagi menyerang Ukraine secara besar-besaran dengan peluru berpandu di bandar Kiev, Dnipro, Kryvyi Rig, Sloviansk, Kramatorsk," kata Zelensky.

"Lebih 40 peluru berpandu pelbagai jenis menyasarkan bangunan kediaman, infrastruktur dan menyebabkan hospital kanak-kanak rosak," tulisnya di media sosial.

Zelensky berkata ramai individu terperangkap di bawah runtuhan hospital kanak-kanak Okhmatdyt dan tidak dapat dipastikan berapa ramai yang terbunuh.

Pegawai perbandaran berkata sekurang-kurangnya tujuh individu telah terbunuh dalam serangan yang melanda Kiev.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI