fb fb fb fb fb

Peluru berpandu China beri kesan besar kepada isu keselamatan – PM Jepun

(Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida (tiga dari kanan), Speaker Dewan Perwakilan AS,
Nancy Pelosi 
(tiga dari kiri), dan delegasi lain dalam sesi fotografi di kediaman
rasmi PM di Tokyo pada 5 Ogos 2022/AFP)

TOKYO, 5 Ogos- Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengutuk tindakan China melancarkan peluru berpandu balistik ketika tentera negara itu mengadakan latihan di sekitar perairan berhampiran Taiwan.

Kishida menyifatkan ia “masalah yang serius menjejaskan keselamatan negara dan rakyat.” yang

Lima peluru berpandu China dilihat jatuh dalam kawasan zon ekonomi eklusif Jepun, dakwa Tokyo dengan empat daripadanya dipercayai melalui ruang udara utama Taiwan.

“Tindakan China kali ini memberi kesan serius terhadap keamanan dan kestabilan rantau ini dan komuniti antarabangsa,” kata Kishida kepada wartawan selepas sarapan pagi bersama Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi hari ini.

“Saya beritahu dia bahawa kami telah meminta untuk pembatalan segera latihan ketenteraan itu.”

Pelosi kini berada di Tokyo, mengakhiri siri lawatan ke Asia termasuk singgah di Taiwan, tindakan yang menyebabkan Beijing semakin marah lantas melancarkan latihan ketenteraan terbesarnya di sekitar pulau yang diperintah sendiri Taiwan sebagai tindak balas atas amaran yang telah disuarakan berulang kali sebelum ini.


(China melancarkan peluru berpandu balistik ke Selat Taiwan pada Khamis ketika
latihan ketenteraan besar-besaran/AFP)

China menganggap Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya dan telah mengingatkan akan merampas secara paksa, jika perlu.

Kishida berkata, Jepun berbincang dengan Pelosi mengenai isu geopolitik termasuk isu berkaitan Korea Utara, China dan Rusia termasuk usaha kearah mewujudkan dunia bebas nuklear.

Pelosi tiba di Jepun pada Khamis malam dari Korea Selatan, satu lagi sekutu AS. Di Korea Selatan, Pelosi melawat kawasan sempadan dengan Korea Utara, negara yang bercita-cita besar dalam pembangunan senjata nuklear dan sering mengujinya.

Ini lawatan pertama kali Pelosi ke Jepun sejak 2015.

Tokyo telah mengemukakan protes diplomatik ke atas Jepun berhubung latihan ketenteraan China berhampiran Taiwan yang bermula semalam.

Sebahagian wilayah Okinawa di selatan Jepun terletak berhampiran Taiwan, begitu juga dengan pulau-pulau kecil di tengah-tengah pertikaian lama antara Tokyo dan Beijing.

Zon ekonomi eksklusif (EEZ) Jepun menjangkau sehingga 200 batu nautika dari kawasan pantai Jepun melebihi had perairan wilayahnya. - AFP

Media Baharu