fb fb fb fb fb

Pelancong dilarang masuk ke lorong persendirian di daerah geisha Kyoto

Foto Fail/ AFP

TOKYO, 7 Mac- Pengunjung akan dilarang memasuki lorong-lorong persendirian di daerah geisha yang terkenal di Kyoto, kata seorang wakil tempatan hari ini, ketika bandar purba itu dibanjiri terlalu ramai pelancong selepas wabak COVID-19.

Ini susulan sudah sekian lama penduduk Kyoto menyatakan kekecewaan dengan pelancong berkelakuan buruk terutama ketika berada di daerah Gion di bandar terbabit, lokasi kepada kedai teh di mana 'geiko' dengan komuniti tempatan mengenalinya sebagai geisha dan pelapisnya, 'maiko' membuat persembahan.

Pada Disember lalu, sebuah majlis daerah Gion yang terdiri daripada penduduk menggesa Kyoto City untuk menangani isu itu, dengan mengatakan kawasan kejiranannya itu 'bukan taman tema'.

Seorang ahli sebelum ini memberitahu media Jepun mengenai contoh kimono maiko dikoyakkan dan seorang lagi yang mempunyai puntung rokok dimasukkan ke dalam kolarnya.

Susulan masalahnya kian berterusan, majlis memutuskan untuk meningkatkan responsnya.

"Kami akan melarang pelancong memasuki jalan persendirian yang sempit pada atau selepas April.

"Kami tidak mahu melakukan ini, tetapi kami terpaksa melakukannya," kata anggota eksekutif majlis itu, Isokazu Ota memberitahu AFP.

Ujarnya, mereka juga akan meletakkan papan tanda.

Katanya, Hanamikoji Street iaitu jalan utama Gion yang juga tempat awam akan terus dibuka kepada pelancong.

Ota berkata, kumpulan pelancong kadangkala 'bertindak seperti paparazi' apabila geisha keluar daripada jalan sempit yang hanya selebar satu atau dua meter.

Pada 2019, Majlis Daerah Gion meletakkan papan tanda bertulis 'tidak boleh merakam gambar di jalan persendirian' dan boleh dikenakan denda sehingga 10,000 yen (RM317.79).

Walaupun terdapat salah tanggapan biasa, geisha bukanlah pelacur, tetapi sebaliknya penghibur dan pelakon yang sangat mahir dalam tarian tradisional Jepun, alat muzik dan permainan.

Industri pelancongan Jepun berkembang pesat sejak sekatan sempadan era pandemik ditarik balik dan tarikan utama lain turut mengambil langkah menentang terlalu banyak pelancongan.

Musim panas ini, pejalan kaki yang menggunakan laluan paling popular untuk mendaki Gunung Fuji akan dikenakan bayaran AS$13 (RM61) seorang dengan bilangan pendaki dihadkan untuk mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI