BARCELONA, 1 September - Pelakon Ireland, Liam Cunningham, yang terkenal menerusi siri Game of Thrones, menyertai aktivis pro-Palestin termasuk Greta Thunberg menjelang pelayaran misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Cunningham berkata beliau mahu menggunakan pengaruhnya untuk meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai nasib rakyat Palestin.
“Saya tidak boleh berdiam diri melihat ketidakadilan. Apa sahaja platform kecil yang saya ada, saya akan gunakan untuk bersuara sekuat mungkin,” katanya.
Beliau turut menyentuh filem “The Voice of Hind Rajab” yang ditayangkan di Festival Filem Venice, mengisahkan tragedi kanak-kanak Palestin berusia lima tahun, Hind Rajab. Filem itu turut mendapat sokongan penerbit terkenal seperti Brad Pitt dan Joaquin Phoenix.
Misi flotila kali ini disertai aktivis dari 44 negara, dengan kapal berlepas dari beberapa pelabuhan menuju ke Gaza.
Israel sebelum ini mengenakan sekatan laut ke atas Gaza sejak 2007 dan merampas misi bantuan terdahulu yang disertai Greta Thunberg pada Jun lalu.